Sunday 15 August 2010

PENGALAMAN MENGAJAR

SMK BANDAR BARU SERTING (F), NEGERI SEMBILAN - Sekolah ini merupakan sekolah ketiga bagi aku. Perpindahan kali ini adalah mengikut kehendak ibubapa. Sekolah ini memberikan banyak pengalaman baru kepada aku. Oleh kerana sekolah ini masih baru bagi aku, maka pengalaman yang hendak dicatitkan dalam ruangan ini terhad.... bersambung......
SMK TAMBUNAN, TAMBUNAN, SABAH ialah sekolah keduaku selepas bertugas di Tenom. Bagaimanakah aku boleh ke sekolah ini? Sebenarnya aku ke sekolah ini bukan atas kerelaan tetapi atas nasihat beberapa kenalanku serta nasihat pegawai bahagian sekolah bahagian keningau selepas berlaku perselisihan faham dengan pengetua sekolah lama. Aku terpaksa undur walaupun sebenarnya aku keberatan untuk berpindah. Aku amat beruntung mendapat sekolah ini kerana sekolah ini merupakan sekolah tempat kawan rapatku bertugas . Aku mula melaporkan diri dengan pengetua Pn. Ngiam Eng Hong iaitu seorang pengetua perempuan. Beliau banyak membantu aku dalam membina keyakinan diri serta memberikan banyak peluang sepanjang menjalankan tugas sebagai seorang guru. Beliau juga memberikan perangsang kepada ku supaya melupakan peristiwa yang berlaku di sekolah lama ku. Beliau meminta aku membuktikan kepadanya yang mana aku tidak seperti yang digambarkan oleh pemberi maklumat kepadanya tentang diri ku.Cikgu Nurul Izad Ali merupakan seorang guru dan kawan yang rapat yang telah banyak membantu ku sepanjang menjalankan aktiviti serta tugas-tugas rasmi ku. Cikgu Izad menjadi orang penting dalam berkongsi suka dan duka sepanjang bertugas malah ke sampai hari ini pun. Pengetua En. Mail Suanda dan Tn Haji Mohlis merupakan pengetua yang sentiasa menjadi kenangan kepada ku kerana mereka ini telah membentuk diriku sentiasa berfikiran positif semasa menjalankan sebarang tugas rasmi atau bukan rasmi di sekolah. Sekolah ini mempunyai guru-guru serta staf yang sangat baik serta peramah. Mereka telah banyak membantu aku dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Antara aktiviti yang menarik yang telah aku laksanakan serta mendapat sokongan yang baik dari mereka serta pelajar ialah Program Menjejaki Perjuangan Mat Salleh ( Menjejaki Perjuangan Pahlawan Mat Salleh dengan menggunakan Basikal sejauh 80 km dari ranau ke Tambunan), Program Eksplorasi Kemerdekaan ( Menjelajah Kepulauan Sabah dengan menggunakan bas, keretapi dan keretapi sehingga ke Labuan sempena kemerdekaan negara yang ke 50 tahun), Sambutan Hari Konvokesyen serta sambutan Hari Raya peringkat sekolah ( Majlis Konvokesyen Tingkatan 6 serta sambutan raya yang mana hidangan sebanyak 1000 ketupat serta lebih dari 600 batang lemang telah disediakan oleh warga sekolah termasuk pengetua Tn Hj Mohlis) serta banyak aktiviti yang lain. (Rujuk Album Kenangan)... Terima Kasih kepada semua guru yang telah membantu menjayakan semua program yang telah dirancang. Akhirnya aku telah sampai kepada penghujung karier ku di sekolah ini, aku terpaksa tinggalkan sekolah ini kerana permintaan orang tua ku untuk pulang ke semenanjung kerana tiada orang harapan disini. Lagipun aku terpaksa akur atas permintaan orang tua ku ini. Sebenarnya aku pulang kesini dengan keberatan kerana aku terpaksa tinggalkan semua kenalanku serta kawan-kawanku di Sabah. Sabah merupakan sebuah negeri yang amat aku cintai dan aku akan kerap akan pulang ke negeri ini untuk mengimbau kembali kenangan ku selama 6 tahun bertugas bila mendapat sebarang peluang atau cuti. Terima kasih kerana aku berpeluang bertugas di negeri orang..........
SM ST ANTHONY TENOM, SABAH merupakan sebuah sekolah yang amat bermakna bagi aku sebagai seorang guru kerana disinilah banyak perkara berkaitan karier seorang guru telah dipelajari sedikit demi sedikit. Aku mula bertugas di sekolah ini pada 21 Januari 2002. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada Cikgu Sidek (Pen. Kanan 1) yang telah membawa aku dari Hotel Berjaya , Kota Kinabalu ke Tenom. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir 4 Jam, pelbagai perkara yang bermain dalam kepala aku antaranya ialah tentang penginapan ku bila sampai di Tenom, tentang sekolah, bagaimana aku akan ke sekolah, kawan-kawan baru yang bakal ditemui dan pada masa yang sama merindui keluarga yang berada di semenanjung. Hari pertama aku melaporkan diri pada pengetua sekolah. En. Sunthararajoo A/L Rengasamy ialah pengetua aku yang pertama. Beliau merupakan seorang pengetua yang hebat bagi aku dan melalui beliau jugalah aku telah mencipta nama sepanjang bertugas di Tenom sekali gus nama SM ST Anthony mula di sebut-sebut oleh sekolah yang berhampiran kerana kejayaan yang telah dicapai melalui program-program yang telah aku laksanakan dengan kerjasama pentadbiran sekolah dan kawan-kawan seperjuangan. Pelbagai program telah dilaksanakan dan program yang menjadi kenangan kepada aku sehingga kini ialah Penciptaan rekod dalam Malaysia Book of rekod dengan mengibarkan jalur gemilang yang terpanjang dipuncak Gunung Kinabalu, kedua ialah program Jom Melancong ke Semenanjung dan ketiga program kemerdekaan bersama Jabatan Keretapi Sabah. Aku telah bertugas bersama tiga orang pengetua iaitu En. Sunthararajoo A/L Rengasamy, Pn. Lim Lai Hong dan En. Frederick Anis Gintod. Sekolah ini juga telah memberikan kenangan manis dan pahit yang amat berharga bagi aku. Semua kenangan itu masih segar lagi dalam ingatan aku. Terima kasih kepada semua warga sekolah ini terutamanya guru-guru dan pelajarnya yang telah memberikan sokongan yang kuat kepada aku sepanjang bertugas sehingga 31 disember 2005. Aku tinggalkan sekolah ini bukan kehendak aku tetapi kerana kenagan pahit yang telah aku lalui dipenghujung tahun 2005 yang menjadikan aku terpaksa pindah ke sekolah lain. Aku tinggalkan sekolah ini dalam keadaan terpaksa. Terima kasih SM St Anthony Tenom.............

No comments:

Post a Comment